Tanda-tanda Kencing Manis


Saya cuba kumpulkan info-info berkaitan kencing manis dan rujukan:

A. Apa Itu Diabetis?

Diabetes ialah penyakit jangka masa panjang yang disebabkan oleh badan tidak dapat menghasilkan insulin yang mencukupi, atau tidak dapat menggunakan insulin dengan betul. Insulin ialah hormon yang mengawal paras gula dalam darah dengan membenarkan gula masuk ke dalam sel-sel, dan dengan itu, menurunkan paras gula dalam darah. https://www.myhealthmylife.com.my/ms/kencing-manis/memahami-diabetes

B. Bagaimana pula dengan tanda-tanda kencing manis?

1) Kerap dahaga dan kerap kencing pada waktu malam

Tanda kencing manis yang paling biasa ialah selalu rasa haus. Apabila waktu malam pula, selalu ke tandas untuk kencing.

Lebihan glukosa dalam saluran darah membuatkan buah pinggang bekerja lebih keras untuk memprosesnya. Ini menyebabkan seseorang menjadi kerap membuang air kecil pada waktu malam.

Apabila air banyak hilang anda akan menjadi lebih dahaga. Itulah antara petanda badan anda sedang cuba menggantikan air yang telah hilang.

2) Berat badan menyusut dengan drastik

Anda kena hati-hati apabila berat badan menurun tiba-tiba walaupun kuantiti makanan yang diambil adalah sama setiap hari. Inilah antara tanda kencing manis.

Bagi sesetengah orang, kehilangan berat badan secara drastik dalam masa yang singkat mungkin menggembirakan mereka.

Tetapi awas kerana ia mungkin salah satu tanda anda menghidap kencing manis kerana disebabkan oleh kegagalan badan untuk memproses glukosa sebagai tenaga yang menyebabkan ia mula memecahkan otot dan lemak untuk menghasilkan tenaga.

3) Jarak penglihatan menurun

Antara tanda kencing manis yang orang selalu abaikan ialah tidak dapat melihat dengan jelas.

Kandungan gula dalam darah yang tinggi boleh menyebabkan perubahan pada bentuk kanta dan mata yang seterusnya mengakibatkan seseorang mengalami kabur penglihatan. Seseorang itu mungkin juga akan buta sekiranya ianya dibiarkan untuk tempoh yang panjang.

4) Sering kebas pada tangan dan kaki

Ia berlaku disebabkan oleh kerosakan pada sistem saraf atau pembuluh darah yang menyebabkan seseorang mengalami kesemutan, kebas atau bengkak pada tangan dan kaki.

Ini kerana darah tidak lagi sampai pada hujung saraf anggota badan.

5) Luka yang lambat sembuh.

Ini tanda kencing manis yang paling menakutkan. Selalu orang kata, sampai boleh kena “Potong kaki!”.

Sistem saluran darah yang rosak kerana gula berlebihan juga turut memberikan kesan kepada penyembuhan luka kerana darah tidak dapat disampaikan kepada anggota-anggota badan. Pesakit juga mungkin tidak akan rasa sakit pada bahagian yang luka.

Paling menakutkan apabila luka-luka ini menjadi semakin teruk dan membusuk dimana hanya dengan memotong anggota badan tersebut merupakan jalan untuk menyembuhkannya.

Kesimpulannya, kurangkan makanan dan minuman bergula termasuk amalkan gaya hidup sihat melalui senaman dan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran. Sayangi diri anda dan keluarga!


Comments

Popular Posts